Monday, April 23, 2007

18

Aku merebahkan badan ke tilam. Leganya dapat baring. Jam didinding kutenung, baru pukul 4.30. Aku baru hendak melelapkan mata tatkala lagu Sexy Back berkumandang. Dengan perasaan malas, aku bangun dan mengambil telefon bimbit di dalam beg di atas meja solek. Flip Nokia 6085 tu kubuka. Nina, bisikku.

A’kum..esk kul brp hbs kelas?

Aku membalas sms tersebut,

Pukul 3. kenapa?

Tidak lama kemudian, sms ku menerima balasan.

Nak ajak kau keluar. Aku nak cari baju

Baju, tak cukup baju ke minah ni..omelku sambil jari-jemariku lincah membalas sms tersebut.

Aik…takkan baju kau yg penuh 2 almari tu
dh x boleh pakai?

Aku nk cari yg baru & terkini…

Don’t understand…balasku.

Nk jumpa parents Irfan

Akhirnya itu yang dibalas oleh Nina. Aku mengurut dada terkejut.

Okey, aku tunggu kat office

TQ, Dee. Sayang kau muah…

Setelah selesai bersms dengan Nina, aku kembali berbaring dan memejamkan mata.

* * * *

Selesai mandi dan bersolat, Amar melangkah keluar dari bilik dan turun ke bawah lalu terus menuju ke dapur.

“Sedapnya bau pisang goreng,” ucap Amar Mukhlis sebaik saja dia tiba di dapur.

“Belum makan lagi dah kata sedap,” tegur Puan Mariah pada anak bujangnya. Amar Mukhlis hanya tersenyum. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya.

“Adik mana, ma? Tak turun tolong ke?” soal Amar Muhklis.

“Dari tadi dia naik tak turun lagi. Tidur agaknya,”

“Hish…tidur apa petang-petang macam ni,” rungut Amar Mukhlis.

“Tak tahulah, mungkin la tidur takpun dia mengadap computer, surf internet,”

“Papa mana, ma?”

“Belum balik dari masjid. Dah pukul 5.30, kejap lagi sampai la tu,” ujar Puan Mariah dan dalam masa yang sama kedengaran loceng pintu ditekan.

“Papa la tu. Panjang umur,” ucap Puan Mariah.

“Mar pergi buka,” ucap Amar Mukhlis lalu bangun menuju ke depan.

“Mama kau goreng pisang ke?” soal Encik Fadzil pada anak bujangnya tatkala melangkah masuk ke rumah.

“A’ah. Mar pun baru nak minum,”

“Yana mana? Dah balik kerja ke belum?”

“Balik dengan Mar tadi. Kat atas, tak tahu tidur ke buat apa ke,”

“Pergi panggil, boleh minum sekali,” arah EncikFadzil pada anak bujangnya itu. Amar Mukhlis mengangguk lalu mengatur langkah menuju ke bilik Dayana di tingkat atas.

“Yana! Yana!” panggil Amar Mukhlis sambil mengetuk pintu bilik Dayana.

“Yana!” panggil Amar Mukhlis lagi apabila panggilannya tadi tidak dijawab. Dalam masa yang sama, Dayana membuka mata perlahan-lahan. Sayup-sayup dia terdengar seperti ada seseorang memanggil namanya.

“Yana! Bukalah pintu ni,”

“Kejap,” jawab Dayana. Dia bangun dan duduk di birai katil. Kemudian dia bangun dan membuka pintu biliknya.

“Tidur?” soal Amar Mukhlis dan Dayana hanya mengangguk.

“Pergi mandi lepas tu turun minum. Dah pukul 5.30 dah,”

“Erm…jap lagi Dee turun. Abang turun dulu,” jawab Dayana.

“Memanglah abang nak turun, takdenya abang nak tunggu Dee. Pergi cepat,”

“Yelah nak pergilah ni,” jawab Dayana lalu menutup pintu biliknya kembali. Dia memandang jam di dinding, 5.35. Dengan langkah yang longlai, dia bangun mencapai tuala dan menghilang di sebalik pintu bilik air.

17

“Kenapa berhenti?”

Aku menoleh kemudian menggelengkan kepala.

“Kalau tak ada apa-apa kenapa berhenti?” soal Abang Ngah lagi seolah-olah tidak percaya dengan gelengan kepala yang aku berikan sebagai jawapan tadi. Aku nampak matanya memerhatikan ke satu arah, mungkin nak cari sebab kenapa aku berhenti tiba-tiba.

“Saja je nak berhenti. Lagipun Dee tengok kat sini tudungnya cantik-cantik,” jawabku memberi alasan yang kurasa munasabah. Harap-harap Abang Ngah tak nampak apa yang aku nampak tadi, doaku dalam hati.

“Jangan nak tipu,”

“Tak tipulah. Ni tengok ni. Tudung ni sulam macam tadi juga tapi bunga dia lain. Ada dua warnalah..pink dan hijau,”

“Cantik juga…lebih cantik dari yang tadi,”

“Murah je, bang. RM45,”

“Boleh kurang?”

“Tu dah kira murah dah tu, bang. Lagipun sulam dia tebal, kain pun jenis baik ni,”

“Nak ambil dua tak kan tak kurang langsung?”

Nak ambil dua? Soalku dalam hati, terkejut.

“Bolehla kurang. Abang nak ambil dua ni,” Aku mendengar Abang Ngah tawar-menawar dengan budak penjual tudung tu.

“RM88 la, bang,”

“Kurang la lagi. RM85. Kalau RM85 saya ambil,”

“Tak dapatlah, bang. Saya boleh bagi RM88 je,”

“Kalau macam tu takpelah. Dee, jom cari kat tempat lain,” ujar Abang Ngah sambil melangkah meninggalkan booth tersebut. Cerewet juga abang aku ni, bisikku sambil mengikut langkahnya.

“Bang, bolehlah RM85,”

Langkah Abang Ngah terhenti sebaik saja mendengar budak tu menerima tawaran harganya tadi.

“Okey, saya nak yang tadi. Hijau dan pink,”

Tidak lama kemudian, wang dan tudung bertukar tangan.

“Amboi..sampai dua,” tegurku.

“Satu je abang nak bagi dia. Satu lagi tu untuk….”

“Untuk siapa?” soalku tanpa sempat Abang Ngah habiskan ayatnya.

“Untuk Dee. Ambil la yang mana satu pun,”

“Serius?” soalku agak terkejut dan tidak percaya namun tatkala memandang anggukan dari Abang Ngah, aku percaya.

“Thank you…erm..Dee nak yang hijau sebab baju hijau Dee takde tudung lagi. Boleh ya,”

“Boleh. Dee ada nak beli apa-apa ke?”

“Takde..kenapa?”

“Kalau takde, kita balik,”

“Okey,”

Sepanjang perjalanan ke rumah, kami senyap saja. Hanya lagu-lagu yang diputarkan oleh DJ erafm saja yang berkumandang. Tiba-tiba aku terkenangkan peristiwa tadi. Macam tak percaya apa yang aku lihat tadi tapi betulkah atau pelanduk dua serupa, hatiku tertanya-tanya.

“Tak nak keluar ke?” teguran Abang Ngah mematikan lamunanku. Aku terpinga-pinga sebentar.

“Dah sampai rumah, tak nak keluar ke?”

“Sampai dah? Sekejapnya,”

“Sekejap apa, dia yang termenung dari tadi. Cepat keluar,”

“Ye lah, nak keluarla ni,” ucapku lalu keluar dan melangkah masuk ke rumah.

16

“Abang…kita makan dulu ek,” pintaku sebaik saja melangkah masuk ke Indah Mall.

“Cari barang dulu kemudian kita makanlah,”

“Ala…ni dah pukul 1.30…perut Dee dah buat lagu rock tau. Kita makan la dulu, cari barang mesti lama,” pujukku.

“Okeylah kita pergi makan dulu. Jom,” ujar Abang Ngah sambil menarik tanganku menuju ke escalator.

“Nak gi mana?” soalku sambil menarik tangannya agar berhenti. Abang Ngah menoleh ke arahku dengan wajah yang berkerut.

“Tadi kata nak makan so ni nak gi makanlah. Kenapa?”

“Napa nak gi turun escalator pulak? Dee nak makan kat sana,” beritahuku sambil jariku menunjuk ke satu arah.

“Situ? Abang nak makan nasilah tengahari macam ni,”

“Kat situ pun ada nasi. Jom,” ucapku lalu aku pula menarik tangannya agar mengikut aku ke tempat yang aku maksudkan. Sampai di Marry Brown, aku menyuruh Abang Ngah duduk manakala aku terus ke kaunter membuat pesanan. 5 minit kemudian, dengan penuh hati-hati aku melangkah ke meja yang diduduki oleh Abang Ngah.

“This is for you,” kataku sambil meletakkan nasi di hadapan Abang Ngah.

“Sedap ke?”

“Belum cuba belum tahu. Makanlah cepat lepas tu boleh la cari barang yang abang nak tu. Erm..abang nak beli apa sebenarnya ye?” soalku cuba memancing agar Abang Ngah bercerita. Mana tahu kalau-kalau terkeluar cerita tentang kawannya.

“Masa makan mana boleh bercakap,”

“Eleh..okey tak nak bagitau takpe…”

Kami berdua senyap semasa makan namun tiba-tiba ketenangan kami dimatikan oleh alunan lagu Kau Kekasihku oleh Siti Nurhaliza. Aku memandang Abang Ngah dengan pandangan yang tajam dan penuh tanda tanya. Sejak bila pulak abang aku ni jadi jiwang, soalku tapi hanya dalam hati. Aku hanya memandang lagak selamba Abang Ngah tika menjawab panggilan tersebut. Tidak sampai 15 minit bercakap, talian diputuskan.

“Tak sangka,”

“Apa yang tak sangka?” soal Abang Ngah.

Aku memandang Abang Ngah kemudian melemparkan senyuman paling manis aku rasa.

“Abang tanya nak kan jawapan bukannya senyuman,”

“Biarlah orang nak senyum. Tak boleh?” soalku masih tersenyum.

“Memang tak boleh,”

“Tak sangka yang abang Dee ni seorang yang jiwang,” kataku sambil melepaskan ketawa yang kusimpan sejak tadi. Abang Ngah hanya menjegilkan mata namun aku tak takut dengan jegilannya itu.

“Dah sudah? Kalau dah bolehlah kita cari barang sekarang,”

“Dah..Dee tunggu abang je,”

“Abang pun dah sudah. Jom,”

Kami melangkah keluar dari Marry Brown dan bergerak ke tingkat atas. Kami melepasi satu demi satu gerai yang menjual pelbagai barangan termasuklah baju, tudung, barangan perhiasan.

“Kita nak cari apa ni?” soalku pada Abang Ngah yang berjalan di sebelah. Mesti orang yang melihat menyangka aku dan Abang Ngah pasangan kekasih kerana kami berjalan dalam jarak yang agak rapat. Orang tak akan kata kami adik beradik lantara wajah kami yang jauh berbeza.

“Cari tudung,”

“Cari tudung? Untuk siapa? Mustahil untuk Dee,”

“Untuk kawan,”

Langkahku terhenti sebaik saja mendengar jawapan yang keluar dari mulut Abang Ngah. Terkejut.

“Kenapa berhenti?” soal Abang Ngah yang sudah terkedepan. Dia kemudiannya berpatah balik ke arahku.

“Mesti special ni. Hah! Dee teka mesti untuk kawan yang call tadi atau pun yang abang tolong decorate kedai tu,”

“Adalah,” jawab Abang Ngah sambil menarik tanganku agar bergerak.

“Tak bagitau, Dee tak nak tolong carikan tudung tu,” ugutku.

“Kita cari dulu, nanti abang bagitaulah,”

“Promise?”

“Yes, promise,”

“Okey… ‘kawan’ abang tu suka warna apa?” soalku sambil berjalan dan sesekali berhenti di booth yang menjual pelbagai jenis tudung.

“Pink, biru, hijau lembut,”

“Erm…hah! Yang ni cantik. Sesuai tak?” soalku sambil menghulurkan sehelai tudung hijau yang cantik.

“Tak crowded ke bunga-bunga ni?”

“Mana crowdednya? Dia sulam kat tepi ni kemudian kat belakang. Cantik ni…” ujarku memberi penjelasan kepada Abang Ngah. Sebenarnya aku pun dah berkenankan tudung hijau tu. Kebetulan sepasang baju kurung hijau aku masih belum ada tudung yang sesuai untuk dipadankan.

“Yang ni berapa sehelai?”

“RM45 je, bang. Tapi harga boleh kurang lagi,” beritahu gadis yang menjaga booth tersebut. Abang Ngah memandangku,

“Betul ke okey?” soalnya inginkan kepastian.

“La..kalau tak berkenan takpe. Kita jalan dulu nanti kalau semua tempat takde juga, kita datang sini balik,” kataku membuat keputusan.

“Takpelah, dik. Abang jalan dulu, nanti kami datang balik,” kata Abang Ngah pada gadis jurujual tadi. Aku berjalan mendahului Abang Ngah. Tiba-tiba langkahku terhenti.

Thursday, April 19, 2007

15

“Okey, kita ada 5 minit lagi jadi tolong save tugasan tadi. Kita sambung lusa,” ujarku memberi arahan kepada 15 orang murid di depanku.

“Cik Yana, lepas ni kami nak pergi main bowling. Cik nak ikut tak?”

“Bowling? Erm..bagus juga tu. Saya pun dah takde kelas dah,” ujarku pada Asrul yang mengajakku tadi.

“Cik..takpe ke? Boyfriend tak marah ke?” soal Hafiz sambil tersenyum simpul. Aku baru membuka mulut hendak jawab soalannya tatkala Nokia 6085 ku mengalunkan alunan lagu Bingung.

“Baru je sebut, dah boyfriend cik call,” usik Hafiz lagi. Aku hanya senyum sambil jari-jemariku membuka flip Nokia 6085 itu.

“Dah habis kelas?”

“Lagi 5 minit. Kenapa?”

“Petang ni ada kelas tak?”

“Takde. Kenapa?” soalku tidak puas hati.

“Bagus. Tunggu kat sana, sekejap lagi abang sampai. Around 10 minutes,”

“Ala..budak-budak Dee ajak join diaorang main bowling,” ujarku.

“Postponed ajelah. Abang ada hal penting ni. Melibatkan Dee juga,”

“Yelah…lain kali jangan buat program melibatkan Dee last minit ya. Kali ni diampunkan,”

“Tunggu kat lobby ya. Senang nak nampak kereta abang nanti,”

“Baik boss,” ucapku mengakhiri perbualan dengan Abang Ngah.

“Boyfriend ya, cik?” soal Hafiz ingin tahu. Budak seorang ni memang busybody, mengalahkan orang perempuan.

“Bukanlah, abang saya. Sorrylah guys, saya tak dapat nak join korang main bowling. Ada urusan nak kena settle. Next time ya,”

“Okeylah, cik. Next time kita pergi sama. Kirim salam pada abang cik tu ya,” ujar Asrul.

“Insya-allah. Okey, boleh bersurai,” ucapku pada mereka. Aku mengemas modul dan kemudian melangkah keluar dari kelas. Tiba di meja, aku meletakkan modul dan mencapai beg tangan.

“Awal balik,” tegur Almaz yang berselisih denganku di pintu bilik yang kami kongsi berempat itu.

“Ada hal sikit dengan Abang Ngah aku. Apa bendanya aku pun tak tahu. Kau dari mana?”

“Aku baru habis kelas tapi ada satu lagi kelas pukul 2 nanti,”

“Okey, aku nak tunggu kat lobby. See u then,” ucapku lalu meneruskan langkah ke lobby.

10 minit berlalu namun bayang Abang Ngah belum kelihatan. Aku mengeluarkan telefon bimbit untuk menelefonnya namun belum sempat aku mendail nombornya aku nampak Wira hitam milik Abang Ngah muncul di depan CITC.

“Lambat,” ucapku sebaik saja melabuhkan punggung ke dalam kereta.

“Sorry, tadi abang dengan kawan. Asyik berbual sampai terlajak,”

“Kawan?” soalku pelik.

“Ye lah, kawan. Dia minta abang tolong temankan dia tengok decoration kedai dia so abang pergilah tolong. Tolong tengok, tolong bagi idea dan komen,”

“Lelaki ke perempuan?”

“Kenapa nak tau?” soal Abang Ngah.

“Saja nak tau. Tak boleh ke?” soalku kembali.

“Ish…boleh. Kawan perempuan. Puas hati?”

“Erm…tak berapa tapi bolehlah,” jawabku sambil ketawa. Namun dalam hati terdetik juga bahawa semestinya kawan Abang Ngah ni istimewa sebab Abang Ngah bukannya pandai bab-bab decoration ni. Pusat tuisyen dia tu pun aku yang bagi idea macam mana nak hias.

“Apsal berkerut dahi tu? Fikir apa?”
Pertanyaan Abang Ngah mengejutkan aku. Aku memandangnya,

“Takde fikir apalah, saja nak kerutkan dahi,”

“Yelah tu, macam abang tak tahu,”

“Sungguh, takde apa. Eh, nak pergi mana ni?”

“Shopping,”

“Shopping?”

“Ya…nak cari sesuatu dan nak minta Dee tolong abang carikan barang tu,”

“Apa bendanya?”

“Nantilah, sampai kat sana abang bagitau lah. Bawa bersabar, okey,”

“Okey,” jawabku.

14

Aku melangkah pantas ke perhentian bas yang berdekatan. Sesekali aku menoleh ke belakang. Harap-harap cepatlah bas sampai. Kalau abang yang sampai dulu habislah aku, bisik hati kecilku.

“Dik, dah lama ke tunggu bas?” soalku pada seorang gadis yang sedang duduk di situ.

“Dah dekat setengah jam tapi satu bas pun belum lalu. Dah lepas agaknya,”

Setengah jam, aku menelan air liur tatkala mendengar jawapan yang keluar dari mulut gadis itu. Jam di tangan kujeling, 8.45.

“Adik nak ke mana?”

“Town. Akak?”

“Akak pun nak pergi town juga. Kita naik cab nak?” cadangku.

“Erm…mahal tak?” soal gadis itu.

“Akak pun tak pasti tapi kita boleh share. Nak tak? Akak dah lambat ni tapi akak tak berani nak naik cab seorang,”

“Bolehlah kalau macam tu,” ucap gadis itu memberi persetujuan. Aku menarik nafas lega. Tiba-tiba telefon bimbitku mengalunkan lagu Bingung dendangan Amy Mastura. Alamak, ucapku dalam hati.

“Ya, Abang Long. Ada apa?” jawabku sebaik saja flip Nokia 6085 itu kubuka.

“Dah sampai ofis?”

“Erm…belum lagi,”

“Belum? Kat bus stop lagi la ya?”

“Eh, tak..dalam teksi,” jawabku sedikit kalut.

“Teksi? Sejak bila pulak Azlin Dayana pandai naik teksi seorang diri ni?”

“Bukan seorang tapi berdua,”

“Berdua? Dengan siapa?”

“Ala..ada adik ni nak gi town juga. So, naik sama la,”
“Okey. Ingat masih kat bus stop. Kalau kat bus stop lagi, Abang Long pergi ambil,”

“Sorrylah, Abang Long dah terlambat. Okeylah, dah nak sampai ni. Bye,”

“Okey, bye,”

Aku menutup flip Nokia 6085 ku.

“Akak, tu ada teksi,” ujar gadis yang duduk disebelahku sambil dia terus bangun menahan teksi. Kemudian, dia menggamitku untuk naik teksi tersebut.

* * * *

“Nama apa?”

“Intan Sakinah tapi panggil Intan. Akak?”

“Azlin Dayana tapi panggil Dee,”

“Ok..Kak Dee kerja ke study?”

“Intan rasa?”

“Erm..mungkin kerja sebab dressing macam orang kerja tapi entahlah…” ujar Intan tersenyum.

“Akak kerja dah. Intan pulak nak pergi mana?”

“Saya nak daftar kelas computer kat Citra IT Centre,”

“CITC? Baru habis SPM ke?”

“A’ah..ari tu saya ambil kelas memandu, ni baru nak ambil kelas computer pulak,”

“Baguslah sebagai persediaan. Sekarang ni semua nak guna computer, kalau tak tau guna susah juga,”

“Akak kerja apa?” soal Intan.

“Akak kerja kuli je, dik,”

“Kerja apa tu?” soalnya ingin tahu lagi.

“Kita dah sampai,” beritahu pemandu teksi.

“Berapa?” soalku.

“RM5,” ujar pemandu teksi tersebut. Aku menyeluk poket jean yang kupakai lalu menghulurkan RM5 kepada pemandu teksi itu. Setelah mengucapkan terima kasih, aku keluar dan diikuti oleh Intan.

“Akak memang nak turun sini ke?” soal Intan.

“Ye, akak kerja kat sini sebenarnya,” jawabku sambil menolak pintu kaca CITC.

“La…akak cikgu computer kat sinilah ya?” soal Intan dan aku hanya mengangguk.

“Intan pergi kat kaunter pendaftaran tu. Nanti kawan akak kat situ akan bagi Intan jadual kelas. Akak masuk dulu ya,” ucapku lalu melangkah meninggalkan Intan di lobby dan aku masuk ke bilik yang disediakan oleh pihak CITC untuk pekerjanya.